KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket seludup rokok di tepi jalan dari arah Pasir Puteh menghala ke Gong Kelih, di Kelantan, semalam.
Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan dalam operasi hasil risikan di sekitar Pasir Puteh yang dikenal pasti sebagai laluan pengedaran rokok tidak bercukai ke pasaran tempatan.
“Pasukan operasi mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan tersebut mendapati terdapat dua lelaki tempatan bersama muatan kotak-kotak yang disyaki berisi rokok seludup.
“Pemeriksaan lanjut di IPD Pasir Puteh mengesahkan sejumlah besar rokok tidak bercukai telah dibawa untuk tujuan pengedaran,” jelasnya.
Menurut PGA, polis turut merampas dua kenderaan serta 26 kotak besar rokok putih berjumlah 260,000 batang dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM508,000.
Siasatan awal mendapati bekalan rokok itu diperoleh daripada pembekal di sekitar Kota Bharu sebelum diedarkan ke Terengganu mengikut permintaan pasaran.
“Sindiket dipercayai menggunakan individu tempatan sebagai ‘runner’ dengan bayaran kira-kira RM200 bagi setiap penghantaran, selain menggunakan kenderaan persendirian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















