KUALA LUMPUR – Kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi tumpas dalam satu operasi Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Mantin, Negeri Sembilan pada Selasa lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, minyak masak sebanyak 4,705 kilogram telah disita sebuah rumah satu tingkat yang dijadikan aktiviti untuk memotong plastik minyak masak bersubsidi berjumlah lebih RM57,000.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 215 kotak minyak masak peket 1 kg dengan jumlah 3,655 kilogram dan empat tong IBC yang mana tiga daripada 4 tong berkenaan mengandungi minyak masak dengan anggaran 1,050 kilogram” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, minyak masak peket 1 kilogram dipercayai diperoleh daripada pemborong di Semenyih kemudiannya dibawa ke premis tersebut untuk kerja pemotongan plastik sebelum dijual semula ke premis kitar semula minyak masak di Selangor.
Azman berkata, ketika serbuan terdapat empat individu berada di lokasi kejadian.
Kesemuanya yang terdiri tiga warganegara asing dan seorang warga tempatan direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal juga mendapati premis dan individu yang disyaki (OYDS) tidak memiliki sebarang lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan bersubsidi tersebut,” tambahnya.
Ujarnya, turut disita sebuah lori satu tan serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan tersebut.
Azman berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurus niaga Barang Kawalan Berjadual tanpa lesen atau kebenaran yang sah dari Pengawal Bekalan.
Sementara itu katanya, sebanyak 15 kes direkodkan dalam Ops TIRIS 4.0 (Bersepadu) sejak 16 Mac hingga 7 April lalu dengan jumlah rampasan 19,511 kilogram melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM48,884.40. – MalaysiaGazette
















