Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggeledah dua lagi syarikat penilaian saham susulan penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM turut mendapati penyelewengan itu dirancang dengan sistematik dan dipercayai berlaku transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara.

“Siasatan kini dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal, yang berpotensi menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.

“Sehingga kini, seramai 10 orang saksi telah dirakam percakapan dan dijangka tujuh orang saksi lagi akan dipanggil dan dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.

“Penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan, bekas CEO sebuah syarikat badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan direman bagi membantu siasatan berhubung penjualan saham sehingga menyebabkan kerugian dana awam melebihi RM300 juta.

Kedua-duanya dipercayai bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun berkenaan.

Sumber turut memaklumkan, kesemua suspek lelaki berusia 40 dan 50-an ditahan sekitar 6 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast