KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China yang berjaya ditumpaskan di Tawau, Sabah baru-baru ini membuka mata tentang tahap keseriusan jenayah scammer yang semakin berleluasa di daerah berkenaan.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDDS), Mohd. Zaki Harry Susanto, penahanan kira-kira 80 individu dalam operasi bersepadu itu menunjukkan bahawa kegiatan sindiket penipuan bukan lagi berskala kecil, sebaliknya sudah beroperasi secara tersusun dan sistematik.

Ujarnya, ia juga jelas membuktikan bahawa Tawau kini berdepan ancaman jenayah siber yang sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan menyeluruh.
Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap persepsi luar yang mula melabel Tawau sebagai ‘markas scammer’, malah ada pihak yang menggelarkannya sebagai ‘Myanmar’ kedua susulan peningkatan kes penipuan dalam talian.
Katanya, persepsi sedemikian jika tidak ditangani boleh memberi imej negatif kepada daerah itu serta menjejaskan keyakinan pelabur dan sektor pelancongan tempatan.
“Label seperti ini amat membimbangkan. Ia bukan sahaja mencalar reputasi Tawau, malah memberi gambaran seolah-olah daerah ini menjadi pusat operasi sindiket penipuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan polis Sabah menahan seramai 80 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China selepas menyerbu sebuah resort di Tawau, Selasa lalu.
Sumber berkata, majoriti tangkapan membabitkan warga asing dengan 78 daripadanya rakyat China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Difahamkan, sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan resort berkenaan sebagai pusat operasi utama menjalankan penipuan dalam talian.
Sementara itu, Mohd. Zaki menegaskan pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang sebenar di sebalik kegiatan berkenaan, bukan sekadar menahan individu yang terlibat di peringkat bawahan.
Menurutnya, tindakan tegas terhadap ‘otak’ sindiket amat penting bagi memutuskan rantaian jenayah serta memastikan kegiatan sama tidak berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Mohd. Zaki turut mengingatkan golongan belia khususnya di Tawau supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan lumayan yang sebenarnya merupakan taktik merekrut mereka ke dalam sindiket scammer.
“Belia perlu lebih berwaspada dan bijak menilai tawaran kerja. Jangan kerana desakan ekonomi, mereka terjebak dalam jenayah yang akhirnya merosakkan masa depan sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak termasuk keluarga, komuniti dan agensi berkaitan untuk memperkukuh kesedaran serta pencegahan jenayah siber di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette
















