KUALA LUMPUR – Polis kini akan menjalankan siasatan bersabit kes Koperal yang memukul seorang anggota tentera lain di sebuah kem di Bentong di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan daripada Seksyen 325 Kanun Keseksaan itu memandangkan mangsa, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, disahkan meninggal dunia pagi tadi.
“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Muhammad Amirul Raziq menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh, Pahang hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49, ketika dihubungi.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam di kawasan kem.
Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Sehubungan itu, anggota tentera berpangkat Koperal berkenaan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Minggu lalu, tertuduh dalam kes itu, Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bentong atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera lain selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi setiap enam pertuduhan lain dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette
















