KOTA TINGGI – Malaysia berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbang permohonan untuk menarik keluar anggota Batalion Malaysia (MALBATT) dari Lubnan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan perkembangan terbaharu di Lubnan yang menyaksikan berlaku konflik perang antara rejim zionis Israel dan Hezbollah.
Jelasnya, keadaan semasa itu bukan mandat yang diberikan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) untuk anggota MALBATT berada di Lubnan.
“Apabila kita hantar pasukan sertai UNIFIL, tujuannya adalah sebagai pasukan pengaman antara pihak bertelagah iaitu Israel dan Hezbollah supaya mereka tidak meneruskan peperangan.
“Tetapi hari ini keadaan telah bertukar, mereka berperang antara satu dengan yang lain dan ini bukannya mandat yang diberikan kepada MALBATT atau mana-mana pasukan lain yang sertai UNIFIL,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli di sini, hari ini.

Tambahnya, MALBATT merupakan pasukan pengaman yang tidak mempunyai kelengkapan persenjataan sesuai untuk keadaan peperangan, sekali gus terkesan dalam situasi semasa.
Atas sebab itu, katanya, Malaysia memohon keputusan PBB untuk menentukan bahawa keadaan sudah berubah dan kesesuaian MALBATT berada di Lubnan wajar dipertimbangkan.
“Permohonan telah dibuat Kementerian Luar, kita di Kementerian Pertahanan tunggu keputusan, kalau keputusannya kekal di situ kita akan kekal, tetapi kalau keputusannya boleh balik, kita akan balik. Itu keputusan antara Kementerian Luar dan PBB, bukan pihak kita,” katanya.
Mohamed Khaled turut memberitahu, lebih 500 anggota MALBATT di Lubnan ketika ini diarah untuk kekal dalam ‘bunker‘ dan tidak melakukan sebarang operasi rondaan. – MalaysiaGazette
















