KUALA LUMPUR — Polemik dakwaan kononnya Kerajaan Malaysia menghantar 329,000 tong diesel ke Filipina kini memasuki dimensi lebih serius apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan perbuatan menyebarkan berita palsu itu sebagai `dosa jariah’.
Beliau menegaskan, tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih termasuk dalam bentuk tanda soal atau kononnya sekadar bertanya tetap membawa implikasi besar jika ia mengundang fitnah dan kebencian.
“Mereka tahu dan faham bahawa berita itu tidak benar tetapi merelakan cacian dan makian serta disebarkan tanpa batas. Lebih menyedihkan ada juga golongan agamawan yang melakukan perkara sama.
“Lebih rumit lagi, walaupun diperbetulkan dengan berita yang benar, masih ramai yang berpegang dengan berita palsu tersebut malahan meneruskan kata-kata kesat dan tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkifli mengulas dakwaan bahawa 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina adalah berasal dari Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa sehingga mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Menurut beliau, keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila pembetulan fakta dan penjelasan rasmi tidak lagi diendahkan, sebaliknya fitnah terus berlegar dan dikitar semula.
“Lebih rumit lagi, walaupun diperbetulkan dengan berita yang benar, masih ramai yang berpegang dengan berita palsu tersebut malahan meneruskan kata-kata kesat dan tidak baik,” jelasnya lagi.
Semalam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan dakwaan kononnya diesel tersebut berasal dari Malaysia adalah tidak benar serta menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.
Terdahulu, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menampung keperluan domestik ketika ketidaktentuan pasaran global, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac. — MalaysiaGazette
















