KUALA LUMPUR – Ketua PPP Wilayah Persekutuan, Sathiah Sudakaran mempersoalkan ketiadaan inisiatif Hadiah Pengajian Tinggi bagi pelajar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, walaupun kawasan itu ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, berbeza dengan Selangor yang menyediakan pelbagai insentif pendidikan untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, Wilayah Persekutuan masih belum mempunyai dasar serupa yang bersifat menyeluruh.
“Persoalannya, mengapa wujud perbezaan layanan terhadap anak-anak Wilayah Persekutuan? Adakah pelajar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kurang layak menerima sokongan dan penghargaan yang sama?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sathiah yang juga Ketua Pemuda Kebangsaan PPP, dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, inisiatif seperti ini amat signifikan kerana bukan sahaja memberi motivasi kepada pelajar cemerlang.
Malah ia membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya pada peringkat awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
“Golongan belia dan pelajar adalah aset penting negara. Kita tidak boleh memandang ringan keperluan mereka, lebih-lebih lagi apabila kos pendidikan dan sara hidup terus meningkat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan serta kementerian berkaitan agar mempertimbangkan pelaksanaan segera inisiatif berkenaan di Wilayah Persekutuan demi memastikan kebajikan pelajar tidak terpinggir.
“Saya menyeru pihak pentadbiran Wilayah Persekutuan untuk melihat perkara ini secara serius dan memperkenalkan dasar yang lebih inklusif serta adil kepada semua pelajar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memberi perhatian terhadap keperluan khas pelajar di kawasan berkenaan.
Katanya, walaupun Yayasan Wilayah Persekutuan ada menyediakan bantuan pendidikan, namun ia masih bersifat terhad dan tidak boleh disamakan dengan dasar negeri yang lebih komprehensif dan sistematik.
“PPP Wilayah Persekutuan akan terus memperjuangkan kebajikan belia serta pendidikan saksama, selaras dengan aspirasi parti demi masa depan generasi akan datang,” katanya.
Dalam konteks ini, Hadiah Pengajian Tinggi merujuk kepada bantuan kewangan sekali bayar yang lazimnya diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebagai insentif kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Difahamkan inisiatif ini bertujuan membantu menampung kos awal seperti yuran, buku dan keperluan asas, selain menjadi dorongan kepada pelajar untuk meneruskan pendidikan.
Namun bagi Wilayah Persekutuan, bantuan seumpama itu tidak dilaksanakan sebagai dasar menyeluruh, sebaliknya hanya ditawarkan secara terhad melalui yayasan.
Keadaan ini dilihat mewujudkan jurang dari segi sokongan pendidikan berbanding negeri lain yang mempunyai skim khas lebih tersusun dan mudah diakses oleh pelajar. -MalaysiaGazette
















