KUALA LUMPUR – Pengasas Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan menyifatkan tindakan pantas kakitangannya menggagalkan cubaan ragut di cawangan AEON Bukit Indah, Johor Bharu semalam sebagai satu contoh keberanian luar biasa yang jarang dilihat dalam situasi sebenar.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata apabila seorang lelaki dipercayai berpura-pura bercakap di telefon sebelum menghampiri meja pelanggan dan melarikan beg tangan milik seorang wanita warga emas dari arah belakang.
“Segalanya berlaku begitu pantas. Suspek berjalan ke bahagian belakang restoran sebelum meragut beg dari belakang tanpa disedari.
“Dalam situasi seperti ini, kebanyakan orang mungkin terkejut dan mengambil masa untuk bertindak,” katanya dalam laman sosial beliau hari ini.

Namun menurutnya, reaksi kakitangan ketika itu amat luar jangka apabila mereka terus bertindak tanpa ragu-ragu untuk mengejar suspek.
“Apa yang benar-benar menyentuh saya adalah mereka tidak sempat berfikir panjang. Ia bukan tindakan yang dirancang, tetapi datang daripada naluri, satu rasa tanggungjawab untuk melindungi pelanggan yang berada di premis kami,” katanya lagi.
Tambah beliau, tindakan spontan itu akhirnya berjaya menahan suspek dan mendapatkan semula beg mangsa dalam keadaan lengkap.
“Dalam beberapa saat sahaja, mereka berjaya kejar dan menghalang suspek daripada melarikan diri. Itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi dalam keadaan cemas,” ujarnya.
Calvin berkata, detik beg itu dipulangkan kepada mangsa yang jelas kelihatan lega menjadi momen paling memberi kesan kepada semua yang berada di lokasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata keberanian kakitangan itu mencerminkan nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Dalam dunia hari ini, tidak semua orang sanggup mengambil risiko untuk membantu orang lain. Tetapi mereka memilih untuk bertindak. Itu menunjukkan nilai yang kami pegang bukan sekadar layanan pelanggan, tetapi juga rasa tanggungjawab terhadap keselamatan komuniti,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan yang terlibat dan menyifatkan tindakan mereka sebagai sesuatu yang wajar dikenang.
“Keberanian seperti ini jarang berlaku. Ia mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar kepada mangsa dan juga kepada keyakinan orang ramai bahawa masih ada individu yang berani tampil membantu,” katanya.
Terdahulu, insiden itu turut dikongsikan syarikat berkenaan menerusi media sosial bersama rakaman video dan gambar kejadian yang memaparkan tindakan pantas kakitangan menghalang suspek daripada melarikan diri.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berada di tempat awam.
“Walaupun kejadian ini berjaya dikawal, ia tetap satu peringatan bahawa jenayah boleh berlaku dalam sekelip mata. Sentiasa peka terhadap persekitaran dan jaga barangan peribadi masing-masing. Keselamatan adalah keutamaan,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















