TANGKAP layar video seorang remaja membaling bata ke aras bawah dalam kejadian di PPR Sri Malaysia.

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan remaja lelaki yang didakwa terlibat dalam kejadian membaling objek di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Malaysia, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin, daripada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Malaysia.

Ujarnya, siasatan awal mendapati seorang remaja lelaki warga tempatan berusia lingkungan 13 tahun dipercayai membaling batu dan kerusi plastik di kawasan blok perumahan tersebut.

Jelas beliau, tindakan itu telah menimbulkan kegusaran dan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk setempat.

“Pasukan Task Force Balai Polis Salak Selatan Baru telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Remaja berkenaan bersama ibu bapanya juga telah hadir ke balai polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Rosdi turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan dialami oleh mana-mana individu dalam insiden tersebut.

Terdahulu, tular di laman sosial satu klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki berjalan di laluan perumahan sebelum berhenti dan mengambil seketul bata di hadapan salah sebuah rumah dan membalingnya ke aras bawah.

Turut kedengaran di dalam video itu adalah suara jeritan sebelum remaja berkenaan dilihat meniarap dan menyembunyikan diri. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast