Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan global yang berterusan menjadikan aliran tunai kini menjadi lebih kritikal berbanding keuntungan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Pengarah Serantau Globaltech Horizons Asia (GTH-Asia) Pte Ltd Jack Yang.

Beliau berkata ini memandangkan perniagaan berdepan pelbagai kejutan yang berlaku terlalu pantas sehingga tidak sempat diserap oleh kitaran hasil mereka.

Aliran tunai menjadi lebih penting daripada keuntungan semasa tempoh ketidaktentuan kerana keuntungan selalunya hanya di atas kertas, manakala tunai menentukan kelangsungan perniagaan, katanya.

“Anda boleh mencatatkan keuntungan tetapi tetap akan runtuh jika kehabisan tunai. Pada masa ini, kejutan berlaku lebih pantas daripada kitaran hasil, jadi perniagaan tidak boleh bergantung kepada keuntungan masa hadapan… Mereka memerlukan tunai hari ini,” katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Bernama World terbitan Bernama TV, hari ini.

Yang berkata demikian ketika mengulas perkembangan semasa berkaitan konflik di Asia Barat, yang kini mula menjejaskan kos perniagaan, rantaian bekalan dan syarat-syarat pembiayaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PKS perlu mendapatkan akses kepada modal lebih awal untuk mengurangkan kesan daripada syarat-syarat kewangan yang semakin ketat.

“Sekiranya anda mampu mendapatkan akses kepada modal sekarang, sila lakukannya sebelum anda mula tertekan. Dan jika anda mendapat modal sekarang, ia adalah lebih baik berbanding mendapatkannya kemudian ketika anda sangat memerlukannya,” katanya.

Berhubung daya tahan perniagaan, Yang berkata PKS ASEAN sangat mudah menyesuaikan diri tetapi secara strukturnya masih belum cukup bersedia dalam mendepani gangguan global yang berulang.

“Saya fikir PKS ASEAN sangat, sangat berdaya tahan, tetapi mereka tidak bersedia dari segi struktur.

“Mereka kuat berusaha, mereka menyesuaikan diri dengan baik dan mempunyai hubungan yang baik, tetapi mereka lemah dalam perancangan kewangan, pengurusan risiko dan akses kepada modal yang pelbagai,” tambahnya.

Globaltech Horizons Asia ialah firma perunding perniagaan yang berdedikasi memperkasakan syarikat melalui penyelesaian strategik bagi memacu pertumbuhan, kecekapan operasi dan pengembangan pasaran.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast