Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 April 2026.

PUTRAJAYA – Penjawat awam dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan supaya lebih berdisiplin ketika bekerja dari rumah (BDR) dengan tidak memuat naik kandungan media sosial yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Datuk Awang Alik Jeman berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kemudahan BDR sehingga menjejaskan imej jabatan dan kerajaan.

Menurut beliau, perkongsian gambar melakukan aktiviti riadah, bersiar-siar atau berada di lokasi tidak berkaitan dengan tugas rasmi pada waktu bekerja adalah antara kandungan yang perlu dielakkan sepenuhnya.

“Semasa BDR, jangan muat naik gambar atau posting di media sosial yang boleh disifatkan sebagai kita tidak menjalankan tugas. Contohnya, memuat naik gambar sedang bermain badminton, berjalan di kompleks beli-belah dan sebagainya.

“Saya beritahu awal, perkara seperti ini perlu dielakkan. Jika berlaku, tindakan tetap akan diambil tanpa pengecualian. Jangan ambil perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Bulanan KDN di kementerian itu, hari ini.

Awang Alik turut menegaskan, kemudahan BDR bukan tiket untuk penjawat awam gagal mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan.

Sebaliknya, setiap pegawai perlu memastikan produktiviti kekal pada tahap optimum serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun tugasan dilaksanakan dari rumah.

Media sebelum ini melaporkan Mesyuarat Kabinet pada 1 April lalu bersetuju melaksanakan dasar BDR bermula 15 April.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan dasar itu melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan.

Langkah tersebut dilihat sebagai pendekatan fleksibel kerajaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam tanpa mengabaikan aspek integriti dan akauntabiliti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast