Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang kes penipuan dengan menyamar sebagai wakil Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di media sosial dikesan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, modus operandi dikesan apabila mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui Whatsapp oleh suspek.

“Suspek yang menyamar sebagai NSRC kemudian mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun akan mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.

“Mangsa yang percayai tawaran itu telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun berbeza sepertimana yang diarahkan.

“Bagaimanapun, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan sebelum menyedari telah menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rusdi berdasarkan rekod JSJK, enam kes penipuan melibatkan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa telah direkodkan bagi tempoh tahun 2025 hingga mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491.

“Ia melibatkan beberapa kontinjen termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu serta kebanyakannya membabitkan mangsa yang diperdaya kali kedua,” jelansya.

Jelasnya lagi, tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, apatah lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast