PUTRAJAYA – Kerajaan sedang berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat menghadapi kemungkinan kesan konflik global terhadap bekalan tenaga tanpa mencetuskan panik atau sikap sambil lewa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pendekatan paling sukar ketika ini ialah mengimbangi mesej kepada rakyat agar realistik, telus dan pada masa sama tidak menimbulkan kegusaran berlebihan.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu rakyat berada dalam keadaan panik, namun pada masa sama tidak mahu wujud sindrom penafian (denial syndrome) seolah-olah situasi global tidak akan memberi kesan kepada negara.

“Cabaran kepada kerajaan utama di sini ialah kita nak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat, the pain is coming. Tapi kita tak mahu rakyat panik.

“Pada masa yang sama, kita pun tak mahu rakyat complacent (lalai),” katanya dalam ucapan sempena Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, pagi ini.

Beliau mengakui keadaan semasa memerlukan komunikasi yang berhati-hati kerana kerajaan juga tidak boleh dilihat mengambil sikap biasa atau “business as usual” ketika risiko gangguan bekalan tenaga semakin meningkat.

Tambah beliau, pendekatan terbaik ialah bersikap berterus terang dengan berkongsi maklumat sebenar mengenai cabaran bekalan dan kemungkinan kenaikan harga pada masa hadapan.

Kerajaan, katanya, mahu rakyat memahami realiti yang sedang dihadapi tanpa menimbulkan kekeliruan atau tekanan yang tidak perlu dalam masyarakat.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita letakkan dulu asas. Yang pertama ialah kita akan sedaya upaya memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat supaya ia jangan terasa impak kepada masyarakat.

“Impak apa? Kenaikan harga minyak, putus bekalan di sana. Yang kedua adalah kestabilan ekonomi. Jadi pendekatan yang kita ambil adalah pendekatan berterus terang, berkongsi maklumat,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tidak akan mengambil sikap kompleks atau menafikan risiko, sebaliknya berusaha memastikan rakyat bersedia secara berperingkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast