Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan melakukan penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap sistem pengurusan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini termasuk menaik taraf skim elaun dan kebajikan agar lebih setimpal dengan risiko tugas, menyediakan perlindungan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan insurans yang mencukupi.

Jelas beliau, status dan perlindungan undang-undang yang lebih jelas juga perlu ditetapkan kepada anggota Rela.

Suraya Sulaiman

Selain itu, kata Suraya, latihan berkala perlu diperkasakan melalui modul yang standard dan profesional, manakala peranan Rela perlu diperjelaskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan agensi lain.

“Kerajaan juga perlu memastikan penyediaan peralatan keselamatan yang lengkap serta melaksanakan audit telus terhadap peruntukan Rela supaya setiap dana benar-benar sampai kepada anggota di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pejuang Johor menegaskan bahawa anggota Rela bukan sekadar tenaga sukarelawan yang boleh digunakan apabila perlu dan dilupakan selepas itu.

Katanya, mereka merupakan sebahagian daripada tulang belakang sokongan keselamatan negara yang wajar dihargai, dilindungi dan dijaga kebajikannya secara serius.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terus mengambil pendekatan sambil lewa dalam isu membabitkan anggota Rela.

Tindakan segera dan berani, katanya, perlu diambil bagi memastikan kebajikan anggota Rela terbela serta sistem sokongan keselamatan negara berada pada tahap yang lebih kukuh, tersusun dan profesional.

“Jangan hanya memanggil mereka ketika diperlukan, tetapi abaikan mereka selepas itu. Negara yang bertanggungjawab adalah negara yang menjaga mereka yang berkhidmat untuknya,” tegasnya.

Katanya, walaupun peranan Rela amat penting dalam membantu aspek keselamatan, penguatkuasaan, pengurusan bencana serta operasi komuniti, hakikatnya nasib dan kebajikan anggota mereka masih berada pada tahap tidak memuaskan dan jauh daripada pengiktirafan yang sepatutnya.

Anggota Rela, katanya, saban hari berhadapan dengan pelbagai risiko ketika menjalankan tugas di lapangan, namun elaun yang diterima masih rendah dan tidak setimpal dengan tanggungjawab yang digalas.

Lebih membimbangkan, dakwanya, kebanyakan anggota Rela tidak dilindungi oleh skim perlindungan sosial yang komprehensif seperti KWSP, Perkeso atau insurans yang mencukupi sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bertugas.

Dalam masa yang sama, ujarnya, status mereka yang bukan penjawat awam sepenuh masa turut menimbulkan persoalan dari sudut perlindungan undang-undang dan jaminan masa depan, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko tanpa perlindungan yang jelas.

Selain itu, ujarnya, Pejuang Johor juga melihat wujudnya kelemahan dalam aspek latihan dan profesionalisme anggota Rela.

“Latihan yang tidak seragam serta kekurangan modul latihan berterusan boleh menjejaskan kecekapan dan membuka ruang kepada salah guna kuasa.

“Peranan Rela yang semakin meluas tanpa garis panduan yang jelas turut menyebabkan pertindihan fungsi dengan agensi lain, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan tugas di lapangan,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan kekurangan peralatan keselamatan yang sepatutnya menjadi keutamaan, sehingga ada anggota terpaksa menjalankan tugas dalam keadaan tidak selamat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast