Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan supaya tidak meneruskan sebarang pendakwaan terhadap tiga anak muda yang ditahan selepas didakwa mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, minggu lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata penahanan tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan bersuara dan hak orang awam untuk mengadakan protes.

Katanya, walaupun mereka telah dibebaskan daripada tahanan reman, tindakan penahanan itu dilihat tidak wajar dan keterlaluan.

“Penahanan anak-anak muda itu amat tidak wajar kerana mereka boleh sahaja ditegur tanpa perlu ditahan,” ujarnya.

Menurutnya, situasi itu juga menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha untuk menakutkan masyarakat daripada menyuarakan kritikan terbuka.

Tambah beliau, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu terbabit serta mana-mana pihak yang menyertai protes aman.

“Saya juga menuntut supaya kerajaan memastikan hak bersuara dan hak berhimpun terus dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan mendedahkan hasil siasatan terhadap Azam Baki sekurang-kurangnya kepada Parlimen kerana melibatkan kepentingan awam. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast