Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

GEORGE TOWN – Sebanyak 57 pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan memastikan operasi nadir bumi oleh Lynas Rare Earths Ltd tidak melanggar undang-undang antarabangsa susulan perjanjian membekalkan bahan itu kepada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kumpulan itu membantah perjanjian bernilai kira-kira USD96 juta bagi tempoh empat tahun yang didakwa mengaitkan operasi di Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan asing.

Surat itu dihantar oleh Pengarah Eksekutif Third World Network, Chee Yoke Ling mewakili kesemua pertubuhan terbabit.

Menurut kenyataan bersama kumpulan tersebut, mereka mendakwa perjanjian itu berisiko menjejaskan dasar berkecuali Malaysia selain boleh mengheret negara ke dalam konflik bersenjata yang didakwa melibatkan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Selain itu, pertubuhan terbabit turut membangkitkan isu kedaulatan negara, dengan menyatakan operasi pemprosesan di Gebeng, Pahang tidak seharusnya menyokong keperluan ketenteraan kuasa asing.

“Kemudahan ini juga lama berdepan bantahan awam berkaitan sisa radioaktif dan risiko alam sekitar, dan situasi ini dibimbangi bertambah buruk,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, kerajaan perlu mematuhi tanggungjawab di bawah prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar tidak membantu atau menyokong sebarang pelanggaran serius seperti jenayah perang atau genosid.

“Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan memastikan Lynas tidak terlibat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa, menjalankan audit bebas terhadap operasinya serta menggubal undang-undang domestik lebih ketat berkaitan rantaian bekalan berisiko tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast