MELAKA – Bekas Pengurus Pentadbiran Melaka Halal Hub mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan komisyen daripada insurans syarikat bernilai lebih RM2,000 sejak empat tahun lalu.
Tertuduh, Erwan Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengurus Pentadbiran Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) didakwa telah menggunakan jawatannya untuk suapan komisyen sebanyak RM1,096.57.
Perbuatan itu adalah sebagai balasan mencadangkan sebut harga syarikat milik isterinya yang dilantik sebagai ejen insurans untuk pembelian insurans kebakaran MHHSB dengan nilai premium RM7,310.48 bagi perlindungan bernilai RM6 juta.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan serupa menerima suapan komisyen sebanyak RM1,102.20.
Pertuduhan pertama dan kedua masing-masing dilakukan pada 27 September 2022 dan pada 27 September 2023
di Pejabat MHHSB dalam daerah Jasin, di sini.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nor Syakila Yaacob dan Noor Juliana Yahaya menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah kerana tertuduh kini bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.
Tertuduh juga menanggung keluarga termasuk menjaga ibu mentua yang menghidap kanser serta adik ipar selain anak-anak yang masih bersekolah
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 14 Mei ini. – MalaysiaGazette
















