Pasukan bomba sedang membawa keluar dua lelaki yang tersepit sebelum disahkan maut ekoran lori muatan ayam yang terbalik di bahu jalan WCE arah utara di Sitiawan. Foto JBPM Perak

BERUAS – Dua lelaki termasuk seorang warga asing maut selepas sebuah lori muatan ayam terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan kilometer (km) 194.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan jalan raya itu pukul 10.11 pagi.

Katanya, sejurus selepas itu seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang lagi lelaki warga Vietnam berumur 30an telah tercampak keluar dan tersepit di tepi lori jenis Hino itu.

“Kedua-dua mereka telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Ujar beliau, pasukan bomba yang berada di lokasi mengeluarkan mangsa tersepit daripada lori yang tersebut dengan menggunakan peralatan penyelamatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Awa Suziana Abd Wahid itu tamat pada jam 11.32 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast