KUALA LUMPUR – Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri menafikan dakwaan dia akan ‘mengangkat kaki’ daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Muhammad Haikal berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk membentuk gandingan mantap bersama pasangan baharunya, Bryan Goonting.
“Saya tidak hantar surat untuk keluar BAM. Fokus saya ialah bersama pasangan baharu dan kami akan sertai Terbuka Thailand,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Muhammad Haikal menghantar surat peletakan jawatannya daripada skuad kebangsaan.
Untuk rekod, sepanjang karier Muhammad Haikal sudah mengumpul tiga gelaran siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika berpasangan dengan Choong Hon Jian. – MalaysiaGazette
















