YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil.6/2026 di Perdana Putra, Putrajaya. 14 April 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, keutamaan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping kekal berdisiplin dan realistik dalam setiap langkah yang diambil.

Tambah beliau, pendekatan utama ketika ini adalah menjamin bekalan tenaga dan barangan asas agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas.

Usaha itu, jelasnya, digerakkan melalui peranan penting Petronas serta perancangan awal bagi memastikan bekalan kekal mencukupi dalam bulan-bulan mendatang.

“Dalam masa sama, tindakan menampan kenaikan kos diperkukuh melalui bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Menurut Anwar, pengurusan permintaan turut dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula esok.

Pada masa sama, katanya, Ops Tiris dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.

Bagi jangka sederhana dan panjang, tambah beliau, usaha dipercepat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu.

“Biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan peningkatan kadar adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, dengan asas industri dan kapasiti domestik yang kukuh, langkah itu bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, tetapi membina daya tahan tenaga negara agar kehidupan rakyat kekal terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Insya-Allah, kita harungi cabaran ini dengan tekad, disiplin dan kebersamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast