KUALA LUMPUR – Pemandu yang terlibat kes langgar lari seorang anggota polis trafik di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada Jumaat lalu merupakan seorang Inspektor yang disahkan menghidap skizofrenia.

Ketua Polis Kuala Lumur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek adalah seorang pegawai kanan polis berusia 40 tahun yang kini sedang menjalani cuti perubatan khas.

“Suspek juga dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan selain dia disahkan mempunyai masalah mental kesihatan iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan berkaitan.

“Suspek telah ditahan petang semalam dalam kejadian dikejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin hingga melanggar beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengesan suspek sekitar jam 3.45 petang di sekitar Jalan Cheras, hasil risikan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Cubaan untuk menahan kenderaan dipandu suspek gagal apabila lelaki terbabit bertindak meloloskan diri dengan memecut laju dan memandu secara berbahaya.

“Kemudian suspek telah melanggar beberapa kenderaan lain ketika insiden kejar-mengejar dari Jalan Cheras ke Jalan Empat, Chan Sow Lin.

“Polis trafik juga telah mengambil tindakan membuka laluan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang lebih serius serta mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek telah melanggar beberapa kenderaan awam termasuk Mercedes Benz dan Proton Saga serta beberapa kenderaan lain yang masih belum membuat laporan polis, setakat ini.

“Selain itu, turut berlaku kerosakan ke atas sebuah kenderaan Unit Peronda Polis (MPV) yang menyertai operasi itu. Suspek bagaimanapun akhirnya ditahan di Jalan Empat, Chan Sow Lin oleh anggota trafik dengan bantuan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Brickfields,” ujarnya.

Fadil berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati tiada barang salah ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif.

“Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan.

“Setakat ini, sebanyak tujuh kenderaan telah tampil membuat laporan polis melibatkan lima kenderaan awam, dan masing-masing satu MPV polis serta motosikal pegawai polis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang terlibat dengan kejadian itu diminta segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis trafik berhampiran.

Sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin, melalui talian 019-4482852 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-2026 0267 / 0269).

Beliau turut memaklumkan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Pada Jumaat lalu sekitar 10.47 malam, seorang anggota trafik, Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning.

Pemandu kenderaan terbabit kemudian melangar dari arah belakang dan bertindak melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menerima rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast