Pengerusi Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut Kereta Satu Malaysia, Md Yusof Yahya

KUALA LUMPUR – Pengusaha trak tunda menggesa kerajaan menyenaraikan sektor itu sebagai penerima subsidi diesel di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 selepas mendakwa permohonan mereka tertangguh sejak tahun lalu tanpa keputusan muktamad.

Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) berkata, kenderaan towing (vehicle carrier) ketika ini tidak termasuk dalam 23 kategori yang layak menerima subsidi berkenaan, walaupun operasi mereka bergantung sepenuhnya kepada diesel.

Pengerusinya, Md Yusof Yahya berkata, pengecualian itu memberi tekanan besar kepada kira-kira 1,000 pengusaha trak tunda di seluruh negara susulan peningkatan kos bahan api.

“Perkhidmatan kami bukan sahaja melibatkan operasi logistik, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran trafik, terutama ketika kemalangan atau kenderaan rosak di tengah jalan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, tanpa subsidi diesel, kos operasi yang semakin meningkat akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan caj perkhidmatan.

Dalam pada itu, Penasihat 1MTTCC, Saravanan Palani berkata, permohonan rasmi bagi mendapatkan subsidi diesel telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 18 Jun 2024, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan konkrit.

Penasihat Persatuan Trak Tunda, P. Saravanan

“Malah, begitu banyak surat permohonan telah dihantar namun kami masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak kementerian.

“Kami mohon kerajaan menyenaraikan pengusaha trak tunda kerana perkhidmatan ini berkait rapat dengan keselamatan awam dan perlu beroperasi pada bila-bila masa,” ujarnya.

Beliau berkata, satu pertemuan juga telah diadakan bersama Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh namun maklum balas yang diterima setakat ini hanya pada peringkat pertimbangan.

Menurutnya, pengusaha towing dan car carrier tidak termasuk dalam kategori D23 di bawah SKDS 2.0 menyebabkan mereka terus terkesan dengan kenaikan harga diesel.

“Perkhidmatan trak tunda adalah antara pihak pertama tiba di lokasi kemalangan. Kami membantu mengalihkan kenderaan bagi mengurangkan kesesakan dan mengelakkan risiko kemalangan susulan khususnya di lokasi berisiko tinggi.

“Malah kami juga membantu pengguna jalan raya yang terkandas, termasuk pada waktu malam, cuaca buruk atau di kawasan terpencil,” ujarnya lagi.

Saravanan berkata, dengan jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya ketika ini, keperluan terhadap perkhidmatan trak tunda semakin kritikal dan wajar diberi perhatian dalam dasar subsidi kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan jawapan segera terhadap permohonan tersebut serta mempertimbangkan pemberian subsidi diesel bagi memastikan kelangsungan operasi industri berkenaan.

“Kami berharap ada keputusan yang jelas dan segera kerana kami tidak boleh menunggu terlalu lama dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, persatuan akan terus menggunakan pendekatan diplomasi melalui saluran rasmi termasuk surat-menyurat dan perbincangan dengan pihak berkuasa.

“Kami tidak menyokong sebarang bentuk demonstrasi atau tindakan di luar undang-undang. Semua pengusaha diminta bertenang sementara menunggu keputusan kerajaan,” tegasnya.

Tambah beliau, pengusaha trak tunda juga merupakan penyumbang kepada ekonomi negara melalui pembayaran cukai dan memainkan peranan penting dalam ekosistem keselamatan serta pengurusan trafik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast