DHAKA – Kira-kira 250 etnik Rohingya dan warga Bangladesh, termasuk kanak-kanak, dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki karam minggu lalu di Laut Andaman, menurut UNHCR,  agensi pelarian dan migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bot nelayan itu berlepas dari Bangladesh dan dalam perjalanan ke Malaysia dan “dilaporkan tenggelam akibat angin kencang, laut bergelora dan lebihan muatan,” kata agensi berkenaan.

Pengawal Pantai Bangladesh memberitahu agensi berita AFP, sebuah kapal mereka telah menyelamatkan sembilan mangsa dari bot tersebut pada 9 April.

Bagaimanapun, waktu sebenar bot itu karam masih tidak jelas.

Ratusan ribu etnik Rohingya, salah satu daripada minoriti etnik di Myanmar, telah melarikan diri ke Bangladesh sejak tindakan keras berdarah pada tahun 2017.

Etnik Rohingya, yang majoritinya beragama Islam, tidak diberikan kewarganegaraan oleh Kerajaan Myanmar, sebuah negara majoriti Buddha.

Namun, keadaan hidup yang serba kekurangan di Bangladesh mendorong sebahagian Rohingya melakukan perjalanan berisiko menaiki bot yang sesak menuju ke Malaysia, sebuah negara Islam yang dianggap sebagai tempat perlindungan yang lebih selamat di rantau ini.

Seorang mangsa terselamat, Rafiqul Islam, memberitahu AFP, dia terapung hampir 36 jam sebelum diselamatkan, dan mengalami kecederaan akibat terkena minyak yang tertumpah dari bot tersebut.

Lelaki berusia 40 tahun itu berkata, pekerjaan yang dijanjikan di Malaysia menjadi faktor yang mendorongnya menaiki bot berkenaan.

“Insiden tragis ini mencerminkan kesan buruk perpindahan berpanjangan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang bagi etnik Rohingya,” menurut kenyataan bersama UNHCR dan International Organization for Migration.

Keganasan berterusan di Rakhine, negeri asal mereka di Myanmar, telah “memudarkan harapan untuk pulang dengan selamat dalam masa terdekat,” menurut agensi tersebut.

Malah, katanya, pengurangan bantuan kemanusiaan dan keadaan hidup yang mencabar di kem pelarian telah mendorong mereka “mengambil perjalanan laut berbahaya demi mencari keselamatan dan peluang”.

Bot-bot ini lazimnya kecil dan sesak, serta kekurangan kemudahan asas seperti air bersih dan sanitasi. Tidak semuanya berjaya sampai ke destinasi — ada yang maut di laut, manakala yang lain ditahan atau dihantar pulang.

Sebahagian juga dihalang daripada mendarat apabila menghampiri Malaysia dan Indonesia, sama ada oleh pihak berkuasa atau komuniti pesisir pantai.

Pada Januari 2025, Malaysia telah menghalau dua bot yang membawa kira-kira 300 pelarian selepas memberikan makanan dan air kepada penumpang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast