SPRM mereman seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bergelar Datuk, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bergelar Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

SPRM mereman seorang bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bergelar Datuk, hari ini.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 April 2026 terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2023 hingga 2025 dan ketika itu dia menjawat jawatan sebagai Pengarah IPTA terbabit.

“Suspek dipercayai mempunyai kepentingan di dalam sebuah syarikat yang terlibat secara langsung dengan pusat pendidikan terbabit dan menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Tambah sumber, susulan daripada siasatan tersebut, SPRM telah membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast