Mohideen menunjukkan bahan tambahan plastik berbahaya seperti ftalat dan bisphenol yang terkandung dalam penggunaan harian.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menggubal peraturan kawal selia yang lebih menyeluruh bagi melindungi orang ramai daripada pendedahan bahan tambahan plastik berbahaya seperti ftalat dan bisphenol.

Gesaan itu dibuat susulan penggunaan meluas kedua-dua sebatian berkenaan sebagai bahan mentah dalam penghasilan plastik, yang seterusnya boleh menyusup ke dalam kehidupan harian manusia.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pendedahan berterusan kepada bahan kimia itu berpotensi menjejaskan sistem endokrin selain memberi kesan kepada fungsi pelbagai organ.

“Pendedahan kronik boleh membawa kesan jangka panjang termasuk terhadap kehamilan, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta kesihatan reproduktif.

“Kajian yang dijalankan di Malaysia, termasuk oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), mendapati semua 30 sampel mainan murah yang dianalisis melebihi had ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) menunjukkan penggunaan ftalat masih berleluasa sebagai bahan pemplastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohideen, kajian CAP bersama International Pollutants Elimination Network (IPEN) pula mengesan kehadiran Bisphenol A (BPA) dalam kesemua sembilan sampel botol polikarbonat tempatan yang diuji, dengan bacaan antara 0.3 hingga 5.8 bahagian per bilion (ppb).

Kajian lain turut mendapati BPA hadir dalam pelet plastik polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) kitar semula yang dikumpul dari sebuah kilang di Pulau Pinang, sekali gus menunjukkan kemungkinan plastik polikarbonat terlibat dalam proses kitar semula.

“Walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa kawalan seperti larangan BPA dalam botol susu bayi, Malaysia masih belum mempunyai peraturan berkaitan ketelusan kimia dan kebolehkesanan dalam plastik.

“Keadaan ini menyukarkan pengguna untuk mengelak daripada terdedah kepada bahan kimia toksik tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, keperluan memperkenalkan langkah kawal selia yang lebih komprehensif termasuk memasukkan bahan berkenaan dalam Sistem Maklumat Bahan Berbahaya Kepada Alam Sekitar Malaysia (MyEHS) serta Senarai Bahan Kimia Keutamaan Kebangsaan (NPCL) yang dicadangkan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menubuhkan MyEHS, namun ketika ini ftalat dan bisphenol masih belum tersenarai sebagai bahan kimia berdaftar.

“Kesedaran awam juga perlu dipertingkatkan selain mempertimbangkan larangan penggunaan bahan ini dalam semua produk pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast