Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh hadir membuat lawatan ke Pejabat MalaysiaGazette di Kompleks Permaisuri Q, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Hentikan istilah retorik yang seolah-olah memperlekehkan mekanisme bantuan terdahulu sehingga menggores hati rakyat yang sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh membidas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang melabel pendekatan subsidi sebelum ini sebagai ‘tahyul lama’.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja angkuh malah menunjukkan jurang pemisah yang besar antara pemimpin dengan realiti sebenar di peringkat akar umbi.

“Ini bukan soal teori ekonomi semata-mata, ini soal ‘perut’ rakyat,” katanya menerusi hantaran di Faceobooknya hari ini.

Sambil menekankan, keadaan di luar bandar sangat jauh berbeza disebabkan subsidi bahan api merupakan nadi kehidupan rakyat.

“Pesawah menggunakan diesel untuk jentera bagi kelangsungan kerja, bukannya untuk gaya hidup. Begitu juga nelayan yang bergantung kepada subsidi untuk turun ke laut manakala peniaga kecil pula terpaksa menanggung setiap rantaian kenaikan kos pengangkutan,” katanya lagi.

Nurul Syazwani juga mempersoalkan sama ada penderitaan yang dialami rakyat hari ini juga dianggap sebagai satu ‘tahyul’ oleh wakil rakyat berkenaan.

“Penarikan subsidi secara drastik hanya akan memberikan impak langsung kepada perbelanjaan dapur rakyat dan bukannya sekadar angka di atas kertas yang boleh dipermainkan.

“Apabila subsidi ditarik, kesannya bukan teori tetapi ia terus menghentam dapur rakyat. Adakah penderitaan ini juga dianggap tahyul? Atau sebenarnya kerajaan sudah hilang rasa?

“Kenyataan seumpama ini menghina realiti rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin menggila,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Nurul Syazwani membandingkan pendekatan pentadbiran terdahulu di bawah Barisan Nasional BN yang melihat subsidi sebagai tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat bukan beban fiskal.

“Sistem tersebut mungkin mempunyai ruang penambahbaikan, tapi ia tidak sampai ke tahap memperlekehkan keperluan asas rakyat.

“Hari ini kita lihat subsidi ditarik dengan pantas, rakyat diminta untuk faham keadaan, tetapi kerajaan sendiri gagal menunjukkan empati yang sama.

“Ini bukan reformasi, ini pengabaian,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Nurul Syazwani menggesa kerajaan agar berhenti berselindung di sebalik istilah retorik bagi menghalalkan kegagalan dasar yang membebankan.

“Pihak berkuasa perlu tumpukan usaha kepada penghapusan ketirisan dan pembaziran bagi menyelamatkan kedudukan fiskal negara tanpa menekan rakyat.

“Jangan bebankan rakyat, kemudian salahkan dasar lama.

“Apabila pemimpin mula menggelar kesusahan rakyat sebagai ‘tahyul’, itu tanda mereka sudah terlalu jauh dari denyut nadi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast