KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel ke Filipina.
Dalam kenyataan, MCMC memaklumkan, pihak berkuasa mengesahkan bahan api itu adalah milik syarikat perdagangan Vitol bukan Petronas atau Kerajaan Malaysia.
Peranti komunikasi juga dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan.
“Setakat 14 April lalu, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platform media sosial dan digital susulan konflik di Asia Barat dengan semua kes kini dalam siasatan lanjut.
“Antara kandungan tidak benar yang dikesan tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi pengumuman rasmi, peningkatan tarif elektrik, kapal Malaysia di Selat Hormuz dikenakan bayaran oleh Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura, serta penghantaran diesel milik Vitol ke Filipina yang didakwa sebagai milik Malaysia,” demikian menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette
















