MELAKA – Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba membunuh seorang pegawai polis menggunakan sebilah kerambit dalam serbuan operasi dadah, Sabtu lalu.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Fairus Abdullah, 31, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati cuba membunuh pegawai polis berpangkat Inspektor dengan cara menghayunkan sebilah kerambit ke arah mangsa dengan niat sedemikian boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan di Batu 6 Lereh, Tanjung Kling di sini pukul 1 pagi pada 11 April 2026.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.
Tertuduh turut mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntuk hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat.
Mengikut fakta kes, ketika ditahan, tertuduh dilihat memegang sebilah kerambit serta sebatang pemutar skru dan enggan menyerah diri walaupun diminta pengadu merupakan pegawai inspektor.
Tertuduh kemudian menjerit “aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku” sebelum menghayunkan sebilah kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan polis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal diberikan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana sudah insaf dan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit.
Kedua-dua hukuman itu diarah berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 11 April 2026.
Sementara itu dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani, tertuduh turut turut mengaku bersalah ke atas tiga pertuduhan lain di bawah Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 506 kerana mengugut polis, Seksyen 324 mencederakan anggota polis menggunakan sebilah parang dan Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam
Uthman kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap. – MalaysiaGazette
















