Oleh: Dr. Norshela Mohd Noh
APABILA harga minyak dunia melonjak secara mendadak, ramai yang tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mendorong perubahan tersebut. Pasaran minyak global sering berubah dengan pantas, terutamanya apabila berlaku konflik geopolitik, krisis ekonomi atau gangguan bekalan tenaga.
Peristiwa seperti peperangan di Asia Barat atau konflik Rusia–Ukraine menunjukkan bagaimana ketegangan geopolitik mampu memberi kesan besar terhadap harga minyak dalam tempoh yang singkat. Semasa konflik Rusia–Ukraine pada tahun 2022, harga minyak mentah Brent meningkat sehingga melebihi AS$120 setong dalam tempoh beberapa minggu.
Kenaikan ini berlaku kerana pasaran menjangkakan kemungkinan gangguan terhadap bekalan tenaga global. Walaupun pengeluaran minyak tidak terhenti sepenuhnya, kebimbangan terhadap sekatan ekonomi dan gangguan penghantaran sudah cukup untuk menyebabkan harga minyak melonjak.
Perkembangan terkini konflik Iran di Asia Barat turut menunjukkan betapa sensitifnya pasaran minyak global terhadap ketegangan geopolitik. Serangan terhadap laluan penghantaran minyak dan ancaman terhadap Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting perdagangan minyak dunia, telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga.
Akibatnya, harga minyak mentah global meningkat dengan ketara dan ada ketika menghampiri paras AS$100 setong apabila konflik tersebut semakin memuncak. Keadaan ini membuktikan bahawa pasaran minyak bukan sahaja dipengaruhi oleh pengeluaran sebenar, tetapi juga oleh jangkaan risiko geopolitik dalam dunia yang tidak menentu.
Selain konflik geopolitik, krisis global seperti Covid-19 juga pernah memberi kesan besar kepada harga minyak. Pada tahun 2020, sekatan pergerakan dan penutupan aktiviti ekonomi di banyak negara menyebabkan permintaan bahan api jatuh secara mendadak. Akibat lebihan bekalan dalam pasaran, harga minyak merosot dengan ketara dan dalam satu keadaan luar biasa pada April 2020, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pernah jatuh ke paras negatif.
Ketidaktentuan ini menimbulkan persoalan penting: adakah perubahan harga minyak dunia sebenarnya boleh diramal? Dalam ekonomi moden, para penyelidik menggunakan pendekatan matematik dan analisis data bagi memahami bagaimana harga minyak bergerak dalam pasaran global.
Secara asasnya, harga minyak dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu bekalan dan permintaan. Permintaan minyak datang daripada sektor pengangkutan, industri dan penjanaan tenaga di seluruh dunia. Pada masa yang sama, bekalan minyak pula bergantung kepada tahap pengeluaran negara pengeluar, kestabilan geopolitik serta keadaan ekonomi global.
Namun dalam dunia sebenar, hubungan antara bekalan dan permintaan tidak selalu stabil. Peristiwa luar jangka seperti peperangan, sekatan ekonomi atau krisis politik boleh mengubah keseimbangan pasaran dengan cepat. Oleh sebab itu, ahli ekonomi menggunakan model matematik yang mengambil kira unsur ketidaktentuan dalam pasaran tenaga.
Dalam pendekatan matematik yang mudah, harga minyak kini boleh dianggap bergantung kepada beberapa pemboleh ubah utama seperti permintaan global, bekalan minyak dan tahap risiko geopolitik. Secara ringkas, hubungan ini boleh digambarkan sebagai: Harga Minyak = f (Permintaan, Bekalan, Risiko Geopolitik)
Ini bermaksud harga minyak berubah apabila salah satu daripada faktor tersebut berubah. Sebagai contoh, apabila konflik geopolitik meningkat dan risiko terhadap bekalan tenaga bertambah, pasaran akan bertindak balas dengan menaikkan harga minyak. Walaupun persamaan ini kelihatan ringkas, model matematik sebenar menggunakan data yang jauh lebih kompleks untuk memahami pergerakan harga minyak dalam pasaran global.
Dalam beberapa kajian terkini, teknik kecerdasan buatan seperti Long Short-Term Memory (LSTM) dan Gated Recurrent Units (GRU) menunjukkan keupayaan yang unggul dalam menangani data siri masa yang kompleks, termasuk pola tidak linear dan ketergantungan jangka panjang, yang sering menjadi cabaran bagi kaedah statistik tradisional.
Manakala kaedah pembelajaran mesin seperti Random Forest, Gradient Boosting dan Support Vector Regression mampu menangkap hubungan kompleks dan corak tidak linear dalam data harga minyak. Selain itu, penyelidik juga menggunakan teknik analisis siri masa untuk meramal harga minyak dengan melihat pola sejarah seperti trend kenaikan, penurunan dan turun naik harga, model siri masa seperti Autoregressive integrated moving average (ARIMA) dapat membantu menganggarkan kemungkinan pergerakan harga minyak dalam tempoh tertentu.
Walaupun teknik ini lebih sesuai untuk ramalan jangka pendek, ia tetap menjadi salah satu kaedah penting dalam kajian ekonomi tenaga. Bagaimanapun, model matematik tidak bertujuan meramal harga minyak secara tepat hingga ke angka tertentu. Sebaliknya, model ini membantu pembuat dasar, syarikat tenaga dan pelabur memahami kemungkinan risiko yang boleh berlaku dalam pasaran tenaga global.
Dalam konteks Malaysia, pemahaman tentang dinamika harga minyak dunia juga penting kerana ia memberi kesan kepada kos pengangkutan, harga barangan serta perbelanjaan kerajaan dalam bentuk subsidi bahan api seperti program BUDI MADANI. Perubahan harga minyak global boleh mempengaruhi ekonomi negara walaupun Malaysia turut mempunyai pengeluaran minyak sendiri.
Kesimpulannya, matematik memainkan peranan penting dalam membantu kita memahami bagaimana harga minyak bergerak dalam pasaran global yang kompleks. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, penggunaan model matematik dan analisis data dapat membantu untuk menilai risiko ekonomi serta memahami arah perubahan pasaran tenaga pada masa hadapan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
















