KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengesan tindakan segelintir perantara atau penerima manfaat yang tidak amanah dengan sengaja menyembunyikan logo institusi zakat dalam laporan aktiviti, poster promosi atau hantaran media sosial mereka.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, tindakan itu dikhuatiri membina naratif seolah-olah bantuan yang disalurkan kepada penerima, datang sepenuhnya daripada dana peribadi atau kempen kutipan mereka sendiri.
Beliau kesal dengan fenomena tersebut kerana ia seolah-olah meraih populariti dan kepercayaan orang awam bagi tujuan kutipan derma yang lain pada masa hadapan.
“Perbuatan ini juga menghilangkan kredit kepada institusi agama yang sebenarnya menjadi tulang belakang bantuan tersebut.
“Menyembunyikan logo institusi zakat oleh perantara atau penerima manfaat merupakan perbuatan yang tidak berintegriti dan bercanggah dengan maslahah.
“Islam menuntut menzahirkan pembayaran dan pengagihan zakat terutamanya bagi institusi zakat agar dapat meningkatkan keyakinan kepada orang awam bahawa dana-dana zakat diuruskan dengan betul dan berkesan,” ujar beliau.
Ahmad Fauwaz menyatakan demikian melalui ruangan Tinta Mufti Bil. 103/2026: Amanah Dalam Penyaluran: Menangani Isu Penyembunyian Logo Institusi Zakat.
Mufti berkenaan mengingatkan semua pihak bahawa ibadah zakat merupakan rukun Islam yang berfungsi sebagai mekanisme penyucian harta dan instrumen keadilan sosial.
Jelas beliau, kewajipan ini bukan sekadar tentang memberi, malah ia melibatkan amanah yang besar dalam aspek pengurusan dan pengagihan.
Ujarnya, seiring dengan perkembangan pengurusan zakat moden, institusi seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan institusi-institusi zakat setiap negeri bertindak sebagai pihak berautoriti yang mengutip dan mengagihkan dana zakat kepada pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) atau institusi pendidikan untuk diagihkan kepada asnaf.
Kata beliau, namun tindakan menyembunyikan identiti pengagih asal bukan sekadar isu teknikal, tetapi ia melibatkan isu integriti dan ketelusan.
“Apabila logo institusi zakat dipadam atau tidak dipaparkan, masyarakat terutamanya pembayar zakat tidak nampak keberkesanan wang zakat mereka diuruskan oleh pihak berautoriti.
“Hal ini boleh menimbulkan persepsi negatif bahawa institusi zakat tidak melakukan kerja dengan baik, sedangkan hakikatnya bantuan telah disalurkan melalui rakan strategik yang tidak amanah dalam pelaporan,” ujarnya.
Jelas Ahmad Fauwaz, memaparkan logo institusi pemberi zakat bukanlah bertujuan untuk riak dan menunjuk-nunjuk bagi pihak institusi.
Sebaliknya kata beliau, ia merupakan satu bentuk akauntabiliti awam dan tanda pengiktirafan bahawa dana tersebut ialah dana umat Islam yang diuruskan oleh pihak berkuasa agama. – MalaysiaGazette
















