nufam
Logo NUFAM

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menegaskan struktur gaji sedia ada bagi kru kabin dan kakitangan sokongan penerbangan kini tidak lagi mampan untuk menampung kos sara hidup yang semakin mencabar impak kenaikan mendadak harga minyak dan barangan keperluan harian yang kini mencecah tahap membimbangkan bagi golongan pekerja industri penerbangan.

Susulan itu, NUFAM menggesa syarikat-syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air untuk segera melaksanakan semakan semula struktur gaji dan elaun kakitangan.

Katanya, kenaikan gaji pokok serta elaun harian (per diem) adalah perlu bagi memastikan pekerja tidak terus terbeban dengan inflasi.

Jelas NUFAM, kenaikan harga petrol RON97 dan diesel secara signifikan menyebabkan kos perjalanan pergi-balik ke lapangan terbang bagi kru kini telah melonjak, oleh itu, elaun pengangkutan perlu diselaraskan mengikut kadar semasa harga bahan api.

NUFAM juga meminta pihak kerajaan untuk memperluaskan bantuan seperti BUDI95 khusus kepada golongan pekerja yang bekerja di KLIA dan Lapangan Terbang Subang terutama bahagian pengangkutan dan logistik yang terkesan secara langsung, bagi mengelakkan krisis kewangan dalam kalangan pekerja barisan hadapan industri.

“Kami menerima banyak keluhan dan aduan daripada pekerja yang menyatakan pendapatan mereka kini ‘cukup makan’ sahaja akibat kenaikan kos makanan dan kos pengangkutan ke tempat kerja.

“Jika syarikat penerbangan mampu mencatatkan keuntungan hasil pemulihan sektor pelancongan pasca-pandemik, maka kebajikan pekerja yang menjadi tulang belakang operasi ini tidak seharusnya diabaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lantaran itu, NUFAM berharap pihak MOT dan pengurusan syarikat penerbangan bersedia untuk berbincang bersama kesatuan dan persatuan penerbangan dengan kadar segera melalui Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan (NACC).

Namun, katanya, sehingga hari ini kami masih menunggu pihak Kementerian Pengangkutan untuk memanggil semua pihak yang terlibat untuk berbincang mengenai krisis ini,” ujar NUFAM lagi.

Menurutnya, kegagalan menangani isu ini dengan kadar segera bukan sahaja akan menjejaskan moral pekerja, malah dikhuatiri akan memberi impak kepada kualiti perkhidmatan dan keselamatan industri penerbangan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast