SEPANG – Kesiapsiagaan Tabung Haji (TH) untuk musim haji 1447H/2026M kini sudah mencapai 100 peratus.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447 Hijrah, Mohd Norber Kassim berkata, kesiapsiagaan pihaknya merangkumi semua aspek iaitu penerbangan, penginapan, pengurusan aktiviti dan logistik melibatkan lapan stesen operasi seluruh negara.
“Mungkin ada adjustment (penyesuaian) di aspek tertentu disebabkan mungkin ada perkara-perkara baru atau pun arah-arah baru.
“Di tanah air (yang) melibatkan lapan stesen di mana stesen utama di KLIA dan tujuh stesen luar di seluruh negara. Semuanya telah selesai dari segi mesyuarat penyelesaian operasi haji,” katanya ketika ditemui pasa Taklimat Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Stesen KLIA di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Norber berkata, TH telah memulakan persiapan sejak tahun lepas bagi memastikan kelancaran seramai 31,600 jemaah pada musim haji kali ini.
Menurut beliau, OHTA Fasa 1 bermula 17 April iaitu sehari sebelum jemaah kumpulan pertama berlepas ke tanah suci manakala OHTA Fasa 2 bermula 3 Jun hingga 1 Julai 2026.
Tambah beliau, seramai 284 jemaah bakal berlepas ke Mekah, 18 April ini.
“Proses pemeriksaan masuk ataupun lapor diri akan bermula 17 April iaitu pada pukul 10 malam,” ujarnya.
Sebagai rekod, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan mengesahkan Malaysia memenuhi 100 peratus kuota haji bagi musim kali ini.-MalaysiaGazette















