Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Satu memorandum bertajuk ‘Tangkap Azam Baki’ akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pukul 10 pagi di Pintu 3 Istana Negara di sini esok.

Ia susulan dakwaan kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas, telus dan bebas terhadap dua skandal besar melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta isu mafia korporat.

Menurut sekretariat yang juga penganjurnya, Albert Tei, tindakan tersebut diambil selepas kerajaan didakwa tidak menangani secara serius skandal pemilikan saham melibatkan Azam selain dakwaan kewujudan rangkaian mafia korporat yang bersekongkol dengan pihak penguat kuasa untuk merampas syarikat tersenarai awam yang menjadi sasaran.

“Dakwaan berkenaan dikatakan telah memberi kesan besar terhadap reputasi dan integriti Malaysia di peringkat antarabangsa sekali gus mencerminkan kegagalan negara dalam usaha membanteras rasuah dan salah laku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sehubungan itu, Albert berpendapat, Yang di-Pertuan Agong merupakan satu-satunya institusi yang berada di atas kerajaan dan berupaya untuk menangani krisis integriti yang sedang melanda negara ketika ini.

Tambahnya, memorandum tersebut akan diserahkan oleh wakil sekretariat berkenaan sebagai tanda desakan rakyat agar tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast