Kesemua mereka dipercayai bekerja sendiri mengusahakan kebun sayur - Foto Ihsan PGA.

KUALA LUMPUR – Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan Pasukan Gerakan AM (PGA) di sebuah kebun sayur berhampiran Kampung Lurau Hulu Chemperoh, Kampung Janda Baik, Pahang malam tadi.

Operasi kira-kira 9 malam itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penempatan warga asing tanpa dokumen di kawasan berkenaan.

PGA dalam kenyataan berkata, hasil serbuan ke atas sebuah rumah kongsi menahan tiga lelaki dan empat wanita berusia antara 29 hingga 64 tahun.

“Siasatan awal mendapati dua daripada mereka memasuki negara ini menggunakan pas pelawat namun telah tamat tempoh manakala lima lagi dipercayai masuk secara haram melalui jalan laut di Muar, Johor tanpa sebarang dokumen perjalanan sah.

“Kesemua mereka dipercayai bekerja sendiri mengusahakan kebun sayur di sekitar kawasan tersebut sebelum menjual hasil tanaman kepada penduduk serta pemborong tempatan.

“Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas dua passport Republik Indonesia,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala semua tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast