Ali (dua kiri) menyampaikan sijil dalam Majlis Perasmian UTM Premium Career Festival 2026 di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Bantuan kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Asia Barat terutama Iran akan diberikan bertujuan membolehkan mereka untuk menamatkan pengajian selepas terkesan dengan perang di negara teluk itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Ts Dr Ali Selamat berkata, konflik yang berterusan itu mengganggu proses penghantaran dana dari negara asal untuk beberapa pelajar Asia Barat khususnya dari Iran.

Perkembangan berkenaan memberi kesan terhadap keupayaan mereka untuk membiayai pengajian.

Menurutnya, terdapat 200 pelajar Iran belajar di kampus UTM Kuala Lumpur dan Johor Bahru dalam bidang sarjana dan PhD dengan 70 peratus daripadanya mengikuti pengajian di sini.

“Pendaftaran baharu dari Iran telah berkurangan manakala pelajar sedia ada menghadapi kesukaran untuk menerima sokongan kewangan dari negara asal termasuk daripada keluarga berikutan cabaran geopolitik semasa.

“Pihak kita ada sediakan bantuan dan mereka perlu memohon, kita ada dana wakaf dan yang terbaru kita ada buka The UTM ASCEND Scholarships kepada pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa yang ingin memohon di peringkat PhD,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian UTM Premium Career Festival 2026 di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.

Katanya, UTM juga akan bekerjasama dengan Kedutaan Iran dan negara Asia Barat lain yang terjejas selain turut memohon bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk membantu pelajar terbabit.

Selain itu, UTM juga akan mempertimbangkan untuk memberi potongan bayaran yuran pengajian kepada pelajar terbabit tetapi akan berdasarkan kepada kes yang tertentu sahaja.

Pihaknya mahu memastikan pelajar berkenaan mendapat sokongan dan berjaya menamatkan pengajian mereka.

Jelasnya, bukan sahaja pelajar dari Iran yang berdepan masalah seperti itu tetapi juga dari negara lain di rantau tersebut seperti Yaman, Syria dan Palestin.

Dalam kes pelajar tidak dapat kembali ke kampus kerana konflik, beliau berkata, UTM membenarkan mereka mengikuti pengajian secara dalam talian dengan syarat mereka mempunyai akses internet.

“Jika mereka tidak dapat mengakses kemudahan dalam talian, kami akan tangguh pengajian atau sebagainya (mencari jalan penyelesaian lain),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast