KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengesahkan adegan sebuah persembahan teater yang menyertai pertandingan Karnival Teater (KARVITER) di universiti itu yang tular di media sosial tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan.
Menurutnya, persembahan teater itu jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan.
UM dalam kenyataannya berkata, universiti itu memandang serius serta mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, berdasarkan syarat-syarat umum dan peraturan pertandingan KARVITER, setiap persembahan hendaklah bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik universiti.
“Sehubungan itu, Universiti Malaya dengan ini memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta sebarang kegusaran yang timbul.
“Universiti tidak berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Tegasnya lagi, persembahan berkenaan telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai, dan tindakan susulan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
Semalam, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan kewajaran babak sentuh menyentuh dan adegan di ranjang dalam sebuah teater yang dipertontonkan di sebuah universiti tempatan.
Dakwanya, beliau mempunyai video tersebut tidak sanggup kongsikan di media sosial.
“Sangat memalukan untuk saya kongsikan adegan itu yang disertai jeritan penonton.
“Adakah kita sedang melahirkan generasi yang memegang berpendidikan tinggi tetapi akhlaknya rendah?,” soal beliau. – MalaysiaGazette
















