WASHINGTON – Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva memberi amaran ekonomi global bakal berdepan masa sukar sekiranya perang di Asia Barat tidak diselesaikan dan harga minyak kekal tinggi.
Menurutnya, perang yang berlarutan juga memberi risiko inflasi kepada harga makanan.
“Kita perlu bersedia menghadapi masa sukar” jika konflik berterusan, katanya kepada wartawan semasa sidang media di Mesyuarat Musim Bunga IMF dan Bank Dunia di Washington.
Perhimpunan itu menghimpunkan pemimpin kerajaan dan kewangan di ibu negara Amerika Syarikat minggu ini, dengan pembuat dasar berusaha mengehadkan kesan ekonomi daripada peperangan.
Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada 28 Februari mencetuskan tindak balas Tehran, sekali gus hampir menutup Strait of Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan baja.
Sejak itu, harga bahan api melonjak, sekali gus memberi tekanan kepada negara-negara, khususnya ekonomi rentan dan yang bergantung kepada import minyak dari rantau tersebut.
“Kami bimbang risiko inflasi akan merebak kepada harga makanan sekiranya penghantaran baja pada harga munasabah tidak disambung semula dalam masa terdekat,” kata Georgieva.
Bagaimanapun, ketika negara-negara berusaha mengehadkan kejutan harga kepada rakyat, beliau menggesa bank pusat supaya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sebelum melaraskan kadar faedah, jika keadaan mengizinkan.
Menurutnya, ini khusus bagi negara yang mempunyai jangkaan inflasi yang “kukuh dan terkawal”.
“Jika kita dapat keluar lebih cepat daripada perang ini, mungkin tidak perlu mengambil tindakan,” katanya.
Namun beliau mengakui negara yang bank pusatnya kurang berwibawa mungkin perlu menghantar isyarat dasar yang lebih tegas.
Buat masa ini, katanya, “kita masih berada pada tahap di mana penyelesaian konflik secara lebih cepat adalah bermungkinan”.
Sambil menyatakan kesan krisis adalah “tidak seimbang”, Georgieva menggesa negara anggota IMF supaya mendapatkan bantuan kewangan daripada institusi itu jika diperlukan sepanjang konflik.
Pengarah strategi IMF, Christian Mumssen berkata, negara berpendapatan rendah membelanjakan sekitar 36 peratus penggunaan mereka untuk makanan, manakala pasaran sedang pesat membangun sekitar 20 peratus.
Ekonomi maju pula membelanjakan kira-kira sembilan peratus.
IMF menganggarkan permintaan jangka pendek bagi pembiayaan baharu berada dalam lingkungan AS$20 bilion hingga AS$50 bilion.
“Ketika ini, kami mempunyai 39 program, dan permintaan berpotensi bagi program baharu daripada sekurang-kurangnya sedozen negara, sebahagiannya di Afrika Sub-Sahara,” kata Georgieva mengenai bantuan kewangan dana itu.
“Lebih cepat kita bertindak, lebih banyak kita dapat melindungi ekonomi dan rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menekankan keperluan menjaga kelestarian fiskal ketika negara membantu rakyat, sambil memberi amaran bahawa “langkah tidak bersasar, kawalan eksport atau pengurangan cukai secara menyeluruh” boleh “memanjangkan penderitaan akibat harga tinggi”. – Agensi
















