Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga beras melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun susulan kebimbangan terhadap prospek bekalan.

Keadaan ini berlaku selepas kos bahan api dan baja meningkat akibat perang melibatkan Iran, sekali gus mendorong sebahagian petani Thailand membiarkan tanaman mereka tidak dituai.

Harga beras putih Thailand 5 peratus pecah, yang menjadi penanda aras di Asia, meningkat 10 peratus kepada AS$423 (RM1,671) satu tan bagi minggu berakhir 8 April, kenaikan terbesar sejak Ogos 2023.

Walaupun ini merupakan petanda awal peningkatan kos input mula memberi kesan kepada pasaran, harga sebelum ini berada dalam aliran menurun berpanjangan dan baru-baru ini hampir ke paras terendah dalam lebih sedekad.

Penganalisis komoditi kanan di Rabobank di Singapura, Oscar Tjakra berkata, sebahagian petani di Thailand telah menggantung penanaman padi kerana keuntungan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung kos yang semakin meningkat.

Beliau menambah, situasi mencabar itu diburukkan lagi oleh musim kering yang panjang, yang telah mengurangkan hasil dengan ketara serta mengetatkan bekalan semasa.

Tjakra berkata, pengukuhan nilai baht serta peningkatan kos penghantaran dan insurans akibat perang di Asia Barat turut menyumbang kepada kenaikan harga beras. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast