Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membentangkan langkah penyelesaian yang jelas, berjadual serta boleh diukur bagi menangani isu kehilangan pekerjaan yang semakin membimbangkan di Selangor dan Kuala Lumpur ketika ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kedua-dua negeri itu terus merekodkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi pada Mac lalu, meskipun angka keseluruhan negara menurun kepada 5,900 kes berbanding 7,500 kes pada Februari.

Katanya, situasi itu perlu dipandang serius kerana pemberhentian kerja masih tertumpu di dua wilayah utama ekonomi negara, khususnya dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

“Penurunan angka keseluruhan tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan berasa selesa, memandangkan ribuan keluarga masih berdepan tekanan kehilangan sumber pendapatan, kos sara hidup, komitmen hutang serta ketidaktentuan masa depan.

“Bagi rakyat marhaen, kehilangan satu pekerjaan bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi musibah yang menggoncang institusi keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berpandangan, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan perlu segera bertindak secara lebih serius, tersusun dan berani memandangkan Selangor merupakan nadi ekonomi negara.

Katanya, kedudukan Selangor sebagai antara negeri paling terkesan memberi isyarat wujudnya masalah struktur yang perlu ditangani segera dan bukan sekadar dibincangkan di sidang media.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan pelan tindak balas pekerjaan yang bersifat segera dan bersasar, termasuk memperkasa program padanan pekerjaan, latihan semula pekerja, insentif kepada industri yang mengekalkan tenaga kerja tempatan serta bantuan sementara kepada keluarga terjejas.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menilai semula daya tahan sektor utama yang mudah terdedah kepada tekanan ekonomi global, khususnya sektor pembuatan yang dilihat paling rapuh dari sudut keselamatan pekerjaan.

“Pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui projek mega atau pelaburan besar, tetapi sejauh mana rakyat mempunyai pekerjaan stabil, pendapatan bermaruah dan masa depan terjamin,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast