Menteri di Jabatan Perdana (Menteri Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bergambar bersama penerima sumbangan cek semasa Majlis Santunan Kasih Asnaf Tahun 2026 di Dewan Perdana FELDA, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,500 murid daripada 15 sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menerima manfaat program makanan tambahan hasil sumbangan berjumlah RM1.7 juta yang disalurkan sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Mohd Nasrul Khairi berkata, dana tersebut diperoleh hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), badan korporat dan sektor swasta bagi membantu komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, program itu memberi fokus kepada murid beragama Islam dalam kategori B40 dengan anggaran 100 penerima bagi setiap sekolah yang terlibat.

“Dana sebanyak RM1.7 juta ini disalurkan bermula Mei hingga akhir sesi persekolahan tahun ini, melibatkan 10 sekolah di Kuala Lumpur dan lima di Putrajaya.

“Selain bantuan keperluan persekolahan, program ini turut merangkumi penyediaan makanan tambahan bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara,” katanya ketika ditemui pada pada Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Mohd Nasrul Khairi.

Majlis itu disempurnakan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Mohamed Ibrahim Mohamad memaklumkan, pihaknya turut menerima sumbangan RM120,000 bagi melaksanakan program dakwah dan pembangunan belia daripada MAIWP.

Katanya, dana tersebut akan digunakan bagi menjayakan pelbagai aktiviti tahunan termasuk majlis ihtifal peringkat kebangsaan yang merangkumi pertandingan tilawah, azan, nasyid serta program ceramah dan forum perdana.

“Program ini bertujuan memperkukuh pendidikan Islam serta memperluaskan usaha dakwah khususnya dalam kalangan belia di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Mohamed Ibrahim Mohamad.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Norhayati Yusof, 50, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima yang membantu meringankan beban keluarganya dalam menyokong pendidikan anak-anak.

Katanya, bantuan tersebut bukan sahaja meliputi tajaan pengajian di institusi pengajian tinggi, malah turut merangkumi bantuan awal persekolahan bagi anaknya yang masih bersekolah.

“Saya amat bersyukur kerana bantuan ini sangat membantu kami sekeluarga, terutama dalam memastikan anak-anak dapat meneruskan pelajaran dengan lebih baik,” katanya.

Norhayati Yusof.

Pelakon veteran, Maimunah Ahmad (Mak Jah) meluahkan rasa syukur, apabila menerima pelbagai bantuan daripada pihak-pihak yang prihatin termasuk MAIWP terutama ketika beliau kini tidak mempunyai pekerjaan mahupun pencen.

Menurutnya, bantuan yang diterima banyak meringankan beban hidupnya, termasuk sokongan dari segi kewangan, tempat tinggal serta keperluan harian.

“Saya bersyukur kepada Allah. Maulidh S.M.M banyak membantu saya. Kalau ada masalah, saya akan beritahu mereka dan mereka beri pandangan yang baik,” katanya.

Maimunah berkata, sebagai individu yang tidak lagi bekerja, bantuan berterusan amat penting untuk meneruskan kehidupan.

“Saya tidak mempunyai pekerjaan dan tidak ada pencen. Tapi ada orang yang membantu saya, saya sangat bersyukur,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan yang diterima bukan sahaja untuk dirinya, malah melibatkan pelbagai keperluan lain seperti bayaran berkaitan rumah dan sokongan harian.

Katanya lagi, bantuan tersebut sudah diterima sejak beberapa tahun lalu dan MAIWP sememangnya banyak membantu meringankan beban hidupnya.

“Dah lama mereka bantu saya. Sekarang ini ada pelbagai pihak tampil membantu, Alhamdulillah,” jelasnya.

Maimunah Ahmad.

Dalam pada itu, Maimunah berharap lebih ramai pihak tampil membantu golongan memerlukan khususnya ibu tunggal yang berdepan kesukaran hidup.

“Saya nampak ramai lagi ibu tunggal yang susah, anak ramai. Saya bersyukur keadaan saya lebih baik sedikit,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

“Apa saja bantuan yang diberi, walaupun kecil seperti senyuman, saya anggap itu rezeki dan saya doakan mereka sentiasa dalam kebaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast