KUANTAN – Taktik berselindung di kawasan perairan akhirnya terbongkar apabila tiga lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Guardian Bil. 1/2026 yang berakhir semalam.
Pengarah Keselamatan Negeri Pahang, Safrul Faiz Ab Satar berkata, penahanan tiga lelaki oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu menjadi antara penemuan paling signifikan dalam operasi tersebut.

Operasi bersepadu selama dua hari bermula kelmarin itu bukan sahaja merekodkan 172 pemeriksaan, malah menyaksikan 21 individu ditahan atas pelbagai kesalahan, sekali gus mendedahkan wujudnya aktiviti berisiko tinggi yang cuba ‘bermain’ di kawasan maritim negeri ini.
“Mereka dikesan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine hasil saringan dijalankan, dan kes disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Walaupun jumlah tangkapan tidak besar berbanding pemeriksaan, namun kejayaan mengesan kes dadah ini membuktikan kawasan perairan bukan lagi ‘zon selamat’ untuk aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu melibatkan 11 agensi dengan kekuatan 85 pegawai dan anggota, dengan memfokuskan kawasan panas dari Muara Kuantan hingga ke Sungai Tembeling.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencatatkan 139 pemeriksaan tertinggi antara agensi terbabit yang membawa kepada penahanan 18 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen melibatkan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pul, ujarnya, merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM2,000 menerusi enam pemeriksaan membabitkan kesalahan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksesais 1967.
“Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan lapan notis walaupun tiada ketirisan diesel dikesan, manakala Maritim Malaysia turut menggerakkan dua aset laut dengan 14 pemeriksaan dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengambil tindakan terhadap majikan melalui pengeluaran satu Saman F serta semakan pematuhan penempatan pekerja asing di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265].
Selain itu, ujarnya, semakan kelulusan penempatan pekerja asing kepada satu majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] juga dibuat.
Safrul Faiz berkata, Op Guardian membuktikan operasi bersepadu penguat kuasa mampu menggugat aktiviti haram yang cuba berakar di kawasan perairan.
Menurutnya, walaupun peratusan tangkapan agak rendah berbanding pemeriksaan, objektif keseluruhan Op Guardian untuk mengekang aktiviti pelanggaran undang-undang tempatan telah berjaya dicapai.
“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau 999 untuk tindakan segera,” katanya. – MalaysiaGazette
















