Siti Aishah Hasim menunjukkan antara hasil cendawan yang tidak menjadi susulan isu air yang berlaku di Gugusan Felda Lok Heng, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Seorang pengusaha cendawan di Gugusan Felda Lok Heng dekat sini, mendakwa produktiviti pertaniannya terjejas sehingga 30 peratus akibat masalah bekalan air yang berlarutan.

Siti Aishah Hasim, 33, mendakwa, keadaan itu jauh lebih teruk berbanding isu sama yang berlaku ketika pandemik Covid-19 yang menyaksikan catuan air dilakukan sehingga sebulan.

“Dulu walaupun catu air, masih ada bekalan. Kali ini air paip langsung tak ada sejak Sabtu, memang sangat sukar untuk kami para petani yang memerlukan air untuk pengoperasian dan sebagainya kerana bergantung sepenuhnya pada lori tangki air.

“Seperti saya pengusaha cendawan amat bergantung kepada bekalan air berterusan kerana tanaman tersebut memerlukan persekitaran lembap untuk hidup dan berkembang dengan baik.

“Akibat kekurangan air dan cuaca panas menyebabkan antara 20 hingga 30 peratus hasil pengeluaran cendawan mati dan tidak menjadi,” katanya ketika ditemui di felda berkenaan hari ini.

Siti Aishah berkata, dalam keadaan normal, cendawan perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari, namun kini hanya mampu dilakukan sekali akibat kekangan bekalan air.

Ujarnya, dia bernasib baik kerana terdapat air paya berhampiran yang boleh digunakan untuk siraman, namun tidak dapat dipastikan selama mana mampu bertahan.

“Nasib baik kawasan kami ada paya, jadi sekarang kami guna pam air untuk ambil air dari situ bagi tujuan penyiraman.

“Tapi kita bimbang jika cuaca panas berterusan berbulan-bulan berpanjangan, memang susah nak bertahan. Air paya pun mungkin tak cukup,” katanya.

Tambahnya, sebelum Ramadan penduduk turut berdepan dengan catuan air, namun tidak lama iaitu beberapa hari sahaja.

Namun, ujarnya, ketika itu keadaan cuaca yang sangat panas turut menyebabkan kira-kira 2,000 bongkahnya rosak dan terpaksa dibuang.

Dia memaklumkan, keseluruhan bongkah cendawan yang diusahakannya kini mencecah kira-kira 30,000 unit.

Tambahnya, apa yang diharapkan adalah loji air akan kembali pulih, di samping pihak berkaitan dapat menambah baik sistem bekalan air bagi mengelakkan masalah berulang setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, isu air yang berlaku ekoran keadaan Sungai Ulu Sedili Kecil yang kering akibat kemarau yang berpanjangan melebihi dua bulan.

Ujarnya, sungai berkenaan merupakan sumber bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng.

Menurutnya, setelah air dirawat, bekalan air akan diagihkan ke kawasan Gugusan Felda Lok Heng, Gugusan Felda Waha, Felda Bukit Waha dan Felda Bukit Easter dengan jumlah 4,042 akaun pengguna.

Tambahnya, sebagai langkah segera yang diambil oleh pihak kerajaan negeri dan RSAJ, sebanyak 10,000 botol air mineral disediakan untuk diagihkan kepada penduduk terjejas dan pembelian sedang ditambah dari semasa ke semasa.

Selain pembenihan awan, katanya, sebanyak 25 unit tangki statik disediakan di beberapa lokasi strategik untuk digunakan oleh orang ramai dan 14 tanker bergerak yang akan memastikan tangki statik itu berisi air.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengarahkan solat sunat taubat dan memohon hujan Istisqa’ secara berjemaah dianjurkan di daerah ini melibatkan semua masjid dan surau serta di empangan, loji rawatan air susulan isu air yang berlaku.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast