SELAYANG – Pemilik rumah kebajikan di Batu Caves sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini atas lima pertuduhan termasuk menganiaya empat penghuni kanak-kanak serta mengendalikan pusat jagaan tidak berdaftar.
Tertuduh, S. Valan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman dan Majistret Chai Guan Hock.
Di Mahkamah Sesyen, lelaki itu didakwa sebagai penjaga pusat jagaan yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat mangsa iaitu dua lelaki berusia 11 dan 17 tahun serta dua perempuan berusia lapan dan 16 tahun, telah menganiaya mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Selayang Permata, Batu Caves antara tahun 2023 hingga 2025, melibatkan empat mangsa berbeza.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam pemerhati bagi Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, Kirthen Subramaniam berkata, kes itu melibatkan empat pertuduhan berasingan di bawah akta berkenaan.
Menurutnya, pihak pendakwaan pada awalnya mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, namun mahkamah membenarkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.
“Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa atau saksi sepanjang perbicaraan berlangsung,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian sebelum itu memohon jaminan tinggi dengan mengambil kira keseriusan kes selain ia turut mendapat perhatian umum.
Bagaimanapun, peguam Nur Amalia Daud yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, isteri dan tiga anak serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen, selain syarat tambahan yang ditetapkan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Jun depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar di lokasi sama kira-kira jam 8 malam pada 3 April lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kirthen turut memaklumkan mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret.
Beliau bersama seorang lagi peguam, Nishanthi Loganathan, hadir sebagai pemerhati bagi pihak sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam prosiding berkenaan. -MalaysiaGazette















