LONDON – Manchester United dikejutkan berita sedih menjelang aksi penting Liga Perdana Inggeris apabila pertahanan utama mereka, Harry Maguire disahkan tidak dapat diturunkan menentang Chelsea susulan penggantungan satu perlawanan.
Keputusan itu dibuat oleh The Football Association selepas Maguire didapati bersalah atas tuduhan salah laku melibatkan penggunaan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan.
Ketiadaan bek tengah berusia 33 tahun itu menimbulkan masalah buat United selepas seorang lagi pertahanan tengah, Lisandro Martinez turut bakal terlepas beberapa perlawanan selepas dilayangkan kad merah akibat kesalahan ‘violent conduct‘.
Sementara itu, insiden Maguire berpunca daripada perlawanan menentang Bournemouth sebelum ini di mana dia dilayangkan kad merah pada minit ke-78.
Namun, situasi menjadi lebih serius apabila dia didakwa, bertindak tidak wajar dengan mengeluarkan kata-kata berunsur menghina terhadap pegawai keempat.
Pemain berusia 33 tahun itu mengakui kesalahan tersebut dan turut dikenakan denda sekitar GBP30,000.
Ketika ini, Manchester United berada dalam kelompok teratas liga dan masih bersaing untuk kedudukan terbaik, namun kehilangan dua pemain pertahanan utama menjelang pertemuan dengan Chelsea boleh memberi kesan besar kepada keseimbangan pasukan dan paling membimbangkan terhadap keampuhan pertahanan The Red Devils. – Agensi
















