WASHINGTON – Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, Iran `pasti’ akan menyertai Piala Dunia 2026 di sebalik perang di Asia Barat.
“Iran pasti akan datang. Kami berharap pada masa itu keadaan akan menjadi aman, itu pasti akan membantu,” kata Infantino kepada penyiar CNBC.
“Tetapi Iran mesti datang, mereka mewakili rakyat mereka, mereka telah layak, para pemain mahu beraksi,” katanya mengenai perlawanan pasukan itu yang dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat (AS) pada Jun ini.
Penyertaan Iran dalam kejohanan dunia itu sebelum ini menjadi tanda tanya berikutan perang dengan AS dan Israel yang tercetus pada 28 Februari lalu.
“Sukan sepatutnya berada di luar politik,” kata Infantino.
“Jika tiada pihak lain yang percaya dalam membina jambatan dan mengekalkannya serta menyatukan semua pihak, maka kami menjalankan tugas itu,” tambahnya.
Piala Dunia itu yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada, akan bermula pada 11 Jun depan. – AFP















