Amirudin Shari.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk menerokai sumber tenaga baharu termasuk loji nuklear bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api pada masa hadapan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha tersebut akan digerakkan menerusi kerjasama bersama negara lain.

“Ini bermaksud campuran tenaga di Selangor harus dipelbagaikan. Kita tidak hanya boleh bergantung kepada gas atau arang batu. Tenaga solar, hidrogen, dan mungkin biodiesel boleh memainkan peranan yang lebih penting dan harus dipercepatkan.

“Malah, usaha yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026 untuk meneroka sistem dan kesediaan Selangor membina loji nuklear akan digerakkan menerusi kerjasama negara lain, selain mengelakkan kita bergantung kepada kepakaran luar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya, pada peringkat awal bangunan pentadbiran negeri akan meneroka peluang bagi proses peralihan tenaga seperti solar dan teknologi simpanan bateri, tenaga hidrogen serta aspek kecekapan tenaga.

Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings telah menyiapkan loji hidrogen mini yang mampu membekalkan tenaga kepada 12,900 rumah di Kerling, Hulu Selangor.

Amirudin turut memaklumkan, operasi dua Loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) atau insinerator di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas di Kuala Langat, akan dipercepat dan dilancarkan sebelum Jun ini.

“Dalam tempoh terdekat, saya akan melancarkan loji WTE di Jeram dan Tanjung Dua Belas agar sistem pungutan dan urusan sampah dapat menjana tenaga berbanding terus bergantung kepada tapak pelupusan sampah,” tambahnya.

Tapak Pelupusan Sanitari di Jeram dan Tanjung Dua Belas itu bakal memiliki kapasiti masing-masing untuk memproses dan melupuskan sebanyak 3,000 tan sehari dan 2,000 tan sisa sampah sehari.

Kedua-duanya akan dilengkapi dengan loji WTE dan loji kemudahan lain, selain dibekalkan dengan 90 Mega Watts (MW) kuota tenaga yang diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Suruhanjaya Tenaga.

Peruntukan kuota tersebut menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang berjaya mendapatkan peruntukan bagi pembangunan projek WTE di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast