KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM13.68 juta berjaya dilumpuhkan menerusi Op Conops, yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12 April lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu melibatkan dua siri serbuan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, hasil risikan yang diperoleh daripada operasi terdahulu.
Menurut beliau, dalam operasi itu, seramai tujuh individu ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan, tiga wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 28 hingga 43 tahun.

“Dalam serbuan pertama di kawasan parkir kondominium di Putrajaya, empat suspek ditahan bersama rampasan 37 bungkusan bunga ganja seberat 37.33 kilogram dan satu bungkusan ganja seberat 0.42 kilogram.
“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium sama menemukan tambahan 131 bungkusan bunga ganja (133.30 kilogram) serta satu bungkusan ganja (3.26 kilogram).
“Serbuan kedua di sebuah rumah teres di Setapak membawa kepada penahanan tiga lagi suspek, selain rampasan 33 bungkusan ganja (3.32 kilogram) dan satu bungkusan bunga ganja (0.11 kilogram),” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Jelas beliau, secara keseluruhan, rampasan melibatkan 170.74 kilogram bunga ganja dan 7.04 kilogram ganja dengan nilai dianggarkan RM13.68 juta.
Ujarnya, siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak Disember lalu itu menjadikan unit kondominium di Lembah Klang sebagai stor penyimpanan dan pusat pembungkusan semula sebelum mengedarkan bekalan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Bagi pasaran tempatan, katanya, sindiket menggunakan perkhidmatan e-hailing dan kurier seperti Grab dan Lalamove, manakala bagi pasaran antarabangsa menggunakan khidmat keldai dadah dengan menyembunyikan bekalan di dalam bagasi.
Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah, manakala tiga lagi negatif.
Menurutnya, lima suspek direman selama tujuh hari bermula 13 April hingga 19 April, manakala dua lagi dibebaskan selepas permohonan reman ditolak.
“Semakan rekod mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Rampasan itu dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 356,000 pengguna.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Tambah beliau, polis turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM385,000 termasuk sebuah kereta, barang kemas dan wang tunai RM3,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan RM14.07 juta. – MalaysiaGazette















