KUALA LUMPUR – Pengamal media dari pelbagai latar belakang platform memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat dalam menyalurkan maklumat yang tepat, sahih dan berintegriti.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, tanpa pengamal media yang jujur, kebenaran mudah tenggelam dalam lautan maklumat yang tidak pasti.
Menurutnya, dalam era lambakan maklumat, tanggungjawab itu menjadi semakin kritikal.
“Kerajaan komited memastikan kebajikan pengamal media terus dipelihara.
“Pada masa yang sama, prinsip kebebasan media perlu terus diperkasa kerana media yang bebas adalah asas kepada masyarakat yang matang dan demokratik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Adly berkongsi berkenaan pertemuan beliau bersama rakan-rakan pengamal media dalam suasana lebih dekat dan terbuka di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai ruang untuk bertukar pandangan secara jujur tentang peranan besar media hari ini.
“Terima kasih atas kehadiran semua pengamal media yang terus komited menyampaikan suara rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















