Kamera AwAS (Automated Awareness Safety System) ialah sistem penguatkuasaan automatik yang digunakan bagi mengesan kesalahan had laju dan pelanggaran lampu isyarat.

KESELAMATAN jalan raya merupakan isu keselamatan awam yang sentiasa diberi perhatian di peringkat global. Perbincangan mengenai tingkah laku pemandu pada masa kini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek pematuhan undang-undang semata-mata, tetapi turut melibatkan tanggungjawab bersama, kesiapsiagaan teknologi serta jangkaan masyarakat terhadap sistem yang lebih selamat dan berkesan.

Walaupun pelbagai kempen pendidikan dan penguatkuasaan telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu, kadar kemalangan maut akibat pemanduan melebihi had laju masih membimbangkan. Hal ini menunjukkan pendekatan tradisional semata-mata tidak mencukupi untuk menangani isu yang semakin kompleks.

Kelajuan yang tinggi telah lama dikenal pasti sebagai antara faktor utama penyumbang kepada kemalangan maut. Didapati bahawa kelajuan kenderaan yang tinggi telah menyumbang kepada 30 peratus kemalangan jalan raya di negara berpendapatan tinggi dan 50 peratus kemalangan di negara berpendapatan sederhana serta rendah. Dari sudut saintifik, peningkatan kelajuan akan meningkatkan tenaga kinetik kenderaan secara eksponen, sekali gus memperbesar tahap impak apabila berlaku pelanggaran.

Kajian di peringkat antarabangsa telah menunjukkan walaupun peningkatan purata kelajuan hanya 1 km/jam, risiko kematian dan kecederaan serius boleh meningkat secara signifikan. Justeru, pengurusan kelajuan menjadi komponen penting dalam strategi pengurusan keselamatan jalan raya moden.

Perkembangan teknologi telah membuka ruang kepada pelaksanaan penguatkuasaan automatik melalui penggunaan kamera kelajuan. Sistem ini berfungsi dengan merekod kelajuan kenderaan menggunakan teknologi radar, laser atau pengesanan imej digital sebelum memadankannya dengan pangkalan data pendaftaran kenderaan untuk tujuan tindakan undang-undang.
Berbanding penguatkuasaan manual, sistem automatik mampu beroperasi secara berterusan, konsisten dan kurang terdedah kepada faktor subjektiviti manusia. Apabila digabungkan dalam rangka kerja Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), keberkesanan pemantauan dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Bukti empirikal daripada pelbagai negara menunjukkan penguatkuasaan automatik memberikan impak yang ketara terhadap pengurangan kemalangan. Laporan Suruhanjaya Eropah menganggarkan  pengurangan purata kelajuan sebanyak 1 km/jam berpotensi menyelamatkan ribuan nyawa setiap tahun di Eropah.

Kajian mendapati penggunaan kamera penguatkuasaan boleh mengurangkan kadar kematian dan kecederaan serius antara 20 hingga 37 peratus di lokasi yang terlibat di Amerika Syarikat. Sweden pula melalui program kamera kelajuan kebangsaan yang melibatkan kira-kira 2,000 kamera berjaya mengurangkan kemalangan maut serta meningkatkan tahap pematuhan had laju secara konsisten. Dari sudut perubahan tingkah laku, penguatkuasaan automatik mewujudkan kesan pencegahan yang berterusan.

Apabila kebarangkalian dikesan adalah tinggi dan dilaksanakan secara konsisten, pemandu cenderung untuk menyesuaikan kelajuan mereka walaupun tiada kehadiran fizikal anggota penguat kuasa. Kajian menunjukkan di kawasan tertentu, pengurangan kadar kematian boleh mencecah lebih 60 peratus apabila kamera dipasang serentak dengan pengurangan had laju daripada 90 km/jam kepada 80 km/jam.

Ini membuktikan penguatkuasaan automatik berperanan sebagai mekanisme intervensi sistemik, bukan sekadar alat hukuman. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini sering menimbulkan perdebatan, khususnya apabila ia dikaitkan dengan persepsi sebagai mekanisme kutipan hasil. Oleh itu, pendekatan pelaksanaan perlu dirancang secara teliti dan telus.

Penempatan kamera hendaklah berasaskan analisis data kemalangan, sejarah pelanggaran dan penilaian risiko, terutamanya di lokasi berisiko tinggi seperti zon sekolah, kawasan perumahan dan koridor trafik yang berkepadatan tinggi. Pendekatan berasaskan data ini penting bagi memastikan objektif keselamatan menjadi keutamaan dan bukan kepentingan lain.

Selain itu, penguatkuasaan automatik tidak boleh berfungsi secara terasing. Ia perlu diintegrasikan dengan strategi keselamatan jalan raya yang lain seperti penambahbaikan reka bentuk geometri jalan, pemasangan elemen penenang
trafik, peningkatan pencahayaan jalan serta kempen pendidikan pengguna jalan raya.

Pendekatan bersepadu ini selari dengan konsep ‘sistem selamat’, yang menekankan bahawa kesilapan manusia tidak seharusnya membawa kepada akibat yang membawa maut. Aspek tadbir urus dan komunikasi awam turut memainkan peranan penting dalam memastikan keberhasilan pelaksanaan.

Ketelusan dalam pemilihan lokasi, pendedahan data sebelum dan selepas pelaksanaan serta perkongsian keputusan kajian impak boleh meningkatkan keyakinan masyarakat. Apabila masyarakat memahami bahawa objektif utama adalah untuk mengurangkan kematian dan kecederaan serius, tahap penerimaan terhadap teknologi ini akan meningkat secara semula jadi.

Kesimpulannya, teknologi penguatkuasaan automatik merupakan salah satu instrumen penting dalam ekosistem keselamatan jalan raya moden. Berasaskan bukti saintifik, analisis data dan integrasi teknologi pintar, sistem ini terbukti mampu mengurangkan kadar kematian serta kecederaan serius secara signifikan.

Dalam konteks masyarakat yang semakin kompleks dan mobiliti yang kian meningkat, penggunaan teknologi bukanlah pengganti kepada tanggungjawab manusia, tetapi satu alat strategik yang memperkukuh usaha kolektif untuk melindungi nyawa di jalan raya. Fokus utama kini bukan lagi pada persoalan sama ada teknologi ini wajar digunakan, tetapi bagaimana ia dapat dilaksanakan secara adil, telus dan berasaskan keselamatan untuk manfaat semua pihak.

Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia &

Prof. Ir. Dr. Sri Atmaja P. Rosyidi
Profesor, Universitas Muhammadiyah
Yogyakarta, Indonesia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast